Saturday 1 September 2012

Artikel 1 : Guru Sambung Belajar


            
1.0  Pengenalan

Pendidikan guru adalah pendidikan pembelajaran seumur hidup, bermula sebelum orang itu menceburi profesion perguruan pra perkhidmatan atau masa percubaan dan terus bersambung sepanjang kerjayanya. Kedua perkembangan guru dan sekolah hendahlah seiringan. Kedua – dua ini tidak dapat dipisahkan (Micheal G Fullen. Fullen, Successful School Improvement). Pada tarikh 16 Julai 2007, akhbar Berita Harian terh mengeluarkan satu artikel yang bertajuk “Kementerian Galak Pendidik Tingkat Kualiti Akademik”. Rumusan dari artikel berkenan menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran tetap menggalakkan guru bukan siswazah menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi demi menyahut seruan kementerian yang berhasrat mencapai sasaran semua guru siswazah di sekolah menengah dan sekurang – kurangnya 50%  guru bersiswazah di sekolah rendah pada tahun 2010. Datuk Alimuddin Mohd Dom iaitu Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran menyatakan  bahawa pihak kerajaan  sudah menyediakan pelbagai kemudahan untuk menggalakkan guru menyambung pelajaran seperti biasiswa dan cuti separuh gaji kepada mereka yang berminat untuk meningkatkan kualiti akademiknya.Kepentingan mencari ilmu turut digariskan dalam agama. Bagi agama Islam, hal tersebut begitu jelas melalui sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :

“ Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan menunjukkan jalan yang perlu ditempuhnya untuk menuju ke syurga”.

Sabda Rasullullah SAW itu menggambarkan bahawa betapa Islam memberikan ganjaran syurga kepada golongan yang mahu menuntut ilmu, memandangkan ilmu itu sangat penting dalm membina kesejagatan manusia, mendekatkan manusia dengan perkara – perkara yang baik. Kualiti dibawah MS ISO 9000 ialah keseluruhan ciri – ciri sesuatu entiti (produk dan perkhidmatan) yang dapat memenuhi kehendak pelanggan yang dinyatakan dan yang tersirat. Guru adalah pendidik yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk kemajuan negara pada masa akan datang. Peranan guru dalam bidang pendidikan tidak dapat dinafikan kepentingannya. Oleh yang demikian guru harus mempunyai kualiti diri yang baik.


 Kualiti profesional yang tinggi merupakan kewajiban seorang guru yang bertauliah. Seorang guru yang memperolehipengetahuan dalam bidang pendidikan adalah guru yang bertauliah. Guru ini akan melengkapkan diri dengan pelbagai jenis ilmu pengetahuan seperti ilmu psikologi kanak – kanak, ilmu kaedah mengajar, ilmu mengenai kurikulum dan sebagainya. Guru yang melengkapkan diri dengan pengetahuan ikhtisas ini adalah guru yang telah memperolehi kualiti profesional dan konteks pendidikan.

2.0  Perkembangan hujah – hujah

Perubahan dan perkembangan dunia hari ini  dalam pelbagai disiplin menuntut setiap individu sentiasa memandang jauh ke hadapan. Sektor pendidikan di negara kita sedang berubah secara dinamis dan dikira akan mengalami banyak perubahan dan pembaharuan menjelang abad ke – 21. Matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (centre for academic excellence) di rantau Asia dan di peringkat antarabangsa memerlukan negara meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia atau memperoleh status “World Class Education”. Pendidikan bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan negara khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan kredibiliti yang diakui dan diterima diperingkat antarabangsa.


            Perubahan yang pantas memerlukan individu yang sentiasa belajar bagi meningkatkan kebolehan, keupayaan dan sikap. Disebabkan kemahiran memerlukanpengetahuan, maka pembelajaran berterusan adalah penting untuk seseorang itu mejadi lebih profesional dan sentiasa releven  mengikut perubahan semasa. Konsep pembelajaran sepanjang hayat juga dibicangkan oleh Basil Yeaxlee dan Edward Lindman (1926) yang menegaskan bahawa pendidikan merupakan aspek yang berterusan dalam kehidupan manusia. Pembelajaran sepenjang hayat bermaksud  motivasi kendiri ke arah pencarian dan peningkatan ilmu secara sukarela berdasarkan keperluan personal atau profesional.

            Setiap guru perlu mempunyai semangat dan cita – cita yang kuat untuk meneruskan kehidupan dengan menambahkan ilmu pengetahuan. Setiap guru perlu mengemaskini ilmu dan kemahiran dalam memastikan perkembangan dan peningkatan profesionalisme guru yang sejajar dengan perubahan cabaran yang dihadapi dari masa ke masa. Memetik kata – kata Pat Basset, Presiden National  Assosiation of Independent  School (2009) bahawa terdapat satu korelasi yang kuat secara langsung antara perkembangan profesional guru terhadap pencapaian murid. Perubahan yang berlaku dalam era globalisasi kini  menuntut setiap guru untuk menguasai  ilmu.

            Pengetahuan dalam kalangan individu merupakan kunci kejayaan  dalam sesebuah organisasi. Jesteru, organisasi  di mana anggotanya sentiasa mencari ilmu akan berusaha mencapai matlamat yang dikehendaki. Ilmu pengetahuan bagi setiap individu akan meningkatkan lagi kompentensi dalam melaksanakan tugas. Pengetahuan yang diperoleh oleh setiap individu dalam sesebuah organisasi dapat memperkuatkan lagi kemahiran  bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang serta mewujudkan peluang baharu dimasa hadapan.

            Melanjutkan pelajaran adalah perlu kerana dalam usaha untuk mendapatkan segala ilmu yang berkaitan, khususnya bagi subjek yang diajar. Ilmu merupakan faktor terpenting dalam menentukan kebahagiaan individu dan kejayaan  serta kekuatan sesuatu bangsa dan negara. Ilmu membina kekuatan minda kearah  daya fikir tinggi dan daya kreatif dalam kalangan individu dan bangsa.  Semua agama dan sistem sosial mahukan ahlinya menguasai ilmu. Tambahan pula guru merupakan orang yang akan menyebarkan ilmu. Oleh itu, ilmu guru haruslah lengkap bagi memastikan penyebaran  ilmu yang dilakukan adalah tepat. Dr Wan Mohd. Nor Wan Daud menjelaskan bahawa “Budaya Ilmu” bermaksud kewujudan satu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat  melibatkan diri baik secara langsang atau tdak langsung dengan kegiatan ke ilmuan si setiap kesempatan dan keadaan dimana segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi diperingkat masyarakat, diputus dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan.  Menurut beliau lagi, budaya ilmu adalah satu budaya yang meletakkan nilai tertinggi dan asas ilmu pengetahuan sebagai kunci segala kebaikan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Oleh yang demikian, memang sangat wajar bagi guru untuk merangka pelan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi  supaya mereka sentiasa mempunyai pengetahuan terkini untuk di kongsi bersama dengan murid.

            Guru dalam bilik darjah merupakan individu terpenting di sekolah yang perlu responsif kepada sebarang perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan. Tanpa kesediaan mereka usaha  reformasi pendidikan akan mengahadapi kegagalan (Fullan, 1991; Sarason, 1982). Antara syarat utama bagi membolehkan guru bersikap terbuka dan menerima perubahan ialah melalui pembelajaran yang berterusan.  Oleh itu, setiap guru harus bersedia dari segi mental, emosi serta fizikal untuk menjadi pengamal pendidikan dengan melakukan pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning). Penghayatan konsep pendidikan tentang pentingkan mendalami ilmu dengan lebih meluas lagi  bagi semua profesion terutamnya profesion keguruan bagi membolehkan ahli profesion itu memberi sumbangan yang cemerlang terhadap profesionnya secara khusus dan kepada negara secara amnya.
            Melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi adalah satu amalan yang amat tepat. Memandang guru adalah contoh atau role model yang paling dekat dengan murid, maka belajar bagaimana belajar (learn how to learn)  perlu dipaparkan melalui perlakuan dan tindakan guru sendiri. Setiap guru harus merangka pelan pembelajaran peribadi mereka. Antara yang terbaik dapat dilakukan oleh guru untuk mencapai pembelajaran peribadi mereka adalah dengan berusaha untuk meningkatkan kuaiti akademik dan sentiasa mengambil peluang untuk mengikuti pembelajaran atas rasa keperluan dan mencapai kepuasan peribadi. Yazid Abdul Manap (2001) menggariskan beberapa strategi yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha mereka memartabatkan profesion  di samping menjadikan profesion ini sebagai pilihan utama. Setiap guru boleh meningkatkan keupayaan mereka dengan melakukan pembelajaran kendiri melalui peluang yang disediakan oleh KPM untuk meningkatkan tahap profesionalisme antaranya adalah seperti berikut :

       i.        Program Diploma Perguruan Khas
Mula diperkenalkan pada tahun 1996 bertujuan untuk menjamin kualiti di peringkat menengah dengan menyediakan guru siswazah bagi semua sekolah menengah menjelang tahun 2005.

     ii.        Program Diploma Perguruan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggantikan Sijil Perguruan Asas (SPA) kepada Diploma Perguruan Malaysia (DPM) demi untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara kita selaras dengan cabaran dalam dunia pendidikan hari ini.

    iii.        Program Pensiswazahan Guru
Kursus – kursus seperti Program Khas Pensiwazahan Guru (PKPG) yang dimulakan pada Jun 1999 telah menambahkan bilangan guru siswazah di samping kursus – kursus yang diadakan dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) untuk guru – guru bukan siswazah serta Institut Aminuddin Baki untuk Guru Besar.


    iv.        Program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah
Program ini memberikan peluang kepada semua guru di sekolah rendah untuk mendapat ijazah dengan mengkuti kursus di Institut Pendidikan Guru. Tempoh pengajian adalah selama empat tahun. Guru yang mengikuti program ini akan mengikuti kursus yang sama seperti mana pelajar sepenuh masa di IPG dengan kurikulum yang sama.

     v.        Program Berkembar IAB dengan pihak Universiti
Bidang pendidikan kini sentiasa bekembang mengikut peredaran zaman. Banyak dasar yang dibuat dahulu yang tidak lagi sesuai dengan alaf ini. Oleh yang demikian dasar pendidikan juga berubah walaupun matlamat utama  tidak berubah iaitu berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dengan perubahan tersebut, Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk memastikan mutu pendidikan terus dikawal dan sentiasa berda di paras yang maksimum telah menjalankan bebrapa program khas bagi memastikan terus berkembang.

Latihan pendidikan yang dijalankan dengan usaha sama Institut Aminuddin Baki dalam bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan harus dipuji. Antara latihan dan program yang disediakan ialah program kembar sarjana antara Institut Aminuddin Baki dengan universiti – universiti di Britain, Amerika Syarikat dan Australia.

Guru sebagai barisan hadapan pelaksana sistem pendidikan negara perlu sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menerima gelombang perubahan dalam sistem pendidikan negara, Guru mesti mengekalkan kecemerlangan pengetahuan dan kemahiran dalam dirinya. Pemantapan ilmu yang menjurus ke arah pembelajarn dan pengajaran (P&P) akan meningkatkan kualiti pengajaran guru. Ini amatlah penting agar pengajaran guru tidak  nampak ketinggalan oleh muridnya.

3.0  Implikasi dan kesan

Tokoh – tokoh dalam bidang pendidikan seperti Za’ba, Profesor Tan Sri Dr Awang Had Salleh, Tan Sri Wan Zahid dan ramai lagi menjadi tokoh dalam bidang pendidikan kerana mereka mampu memainkan peranan sebagai insan yang mampu menjentik dan menyuntik kesedaran kepada masyarakat. Melalui ilmu yang dimiliki oleh mereka tokoh – tokoh ini memainkan peranan yang penting dalam bidang pendidikan.  Mereka merupakan insan yang tidak jemu – jemu meneroka ilmu walaupun telah mempunyai ijazah dan kehidupan yang selesa. Perkembangan dalam dunia pendidikan menuntut setiap guru meningkatkan kemahiran mereka sejajar dengan keperluan semasa.

Kesan positif apabila guru melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi ialah dapat menigkatkan kualiti profesioanal dalam diri seorang guru. Sifat dan kualiti profesional yang tinggi merupakan kewajiban seorang guru yang bertauliah. Seorang guru yang mempunyai daya usaha untuk meningkatkan tahap pencapaian diri tidak akan terperangkap dengan rutin yang membosankan murid untuk belajar. Guru yang mempunyai daya usaha untuk menigkatkan diri akan berusaha mencari dan sentiasa memikirkan kaedah pengajaran yang baru supaya pengajarannya menarik dan berkesan.

Sebagai seorang profesional, guru mempunyai akauntabiliti terhadap profesionnya. Oleh itu, guru bertanggungjawab meningkatkan imej profesion perguruan dengan memberi perkhidmatan yang bermutu tinggi seperti mengajar murid dengan cekap. Dengan cara melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi ini akan membantu guru supaya dapat menjalankan tugas dengan cekap dan sempurna kerana kemahiran yang dimiliki semakin bertambah. Ini merupakan salah satu usaha untuk menepati akauntabilitinya terhadap profesionalisme keguruan.

            Perkembangan ilmu pengetahuan pada masa kini bukan sahaja pesat tetapi juga telah sampai ke peringkat meledak. Jesteru itu, sekiranya seseorang tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, lambat  laun akan ketinggalan zaman. Sebagai contoh, kemahiran mengajar yang diperolehi oleh seseorang guru terlatih di maktab perguruan sepuluh tahun dahulu, telah tidak berguna lagi dalam perkembangan pendidikan hari ini. Ini bermakna, untuk menyesuaikan diri dalam bidang kerja yang semakin kompleks dan canggih, guru perlu mengejar ilmu pengetahuan. Kita mungkin tidak mahu bidang pendidikan dipandang rendah. Oleh itu, kejayaan guru untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi akan membuka mata masyarakat tentang kerjaya seorang guru bukan mudah dan sama tarafnya dengan kerjaya profesional lain seperti juruterbang.

            Kesan positif lain yang dapat disenaraikan di sini ialah guru dapat menghadapi cabaran dan tuntutan daripada strategi pengajaran dan pembelajaran  dalam bilik darjah supaya lebih berkesan. Perubahan peranan guru hari ini menuntut guru supaya melengkapkan diri dengan ilmu – ilmu baru agar seiring dengan ledakan dunia pendidikan. Ini bermakna sistem latihan perguruan dahulu dianggap kurang sesuai dan tidak releven untuk digunakan lagi untuk mencapai matlamat pendidikan yang baru. Guru pada hari ini hendaklah sentiasa berusaha untuk melengkapkan diri dengan mengemaskini ilmu pengetahuan dan kemahiran mengajar dari semasa ke semasa.

            Kesan negatif sekiranya guru sambung belajar juga tetap wujud, Contohnya ialah akan wujud masalah pengurusan masa sekiranya guru tersebut tidak dapat membahagikan masa dengan baik.  Pengurusan masa merupakan aspek penting di dalam gaya hidup yang sihat. Kebanyakkan guru yang menyambung pelajaran megalami masalah untuk  membahagikan masa dengan kerjaya, pelajaran serta keluarga. Komitmen mereka terhadap tiga aspek yang besar ini akan menyebabkan kualiti diri mereka terjejas. Disini, kemahiran dalam pengurusan masa amat penting kerana tanpanya guru tersebut mungkin gagal mencapai matlamat yang dikejarnya. Tanpa kemahiran pengurusan masa memungkinkan guru tidak akan dapat menyelesaikan sesuatu pekerjaan dengan baik.

            Kesan kedua ialah wujudnya kerjaya sambilan seperti berniaga kerana tekanan kehidupan. Sambung belajar memerlukan kos  yang tinggi  Jadi dengan keadaan taraf hidup yang tinggi sekarang dan komitmen kepada keluarga serta yuran pengajian ini akan memaksa guru bertindak untuk mencari kerja sampingan yang lain, Setelah penat bekerja di sekolah sepanjang hari, guru menyambung kerja mereka dengan melakukan kerja sampingan tersebut. Keadaan in sudah pasti memerlukantenaga kerja yang maksimum dan akhirnya guru berkenaan menerima padahnya. Mereka pasti keletihan dan pergi ke sekolah pada keesokan harinya dengan keadaan yang lesu. Akhirnya pengajaran terjejas dan di buat ala kadar sahaja.


4.0  Cadangan

Saya mencadangkan bahawa bagi mengatasi masalah kekangan ketika guru sambung belajar ini ialah kerana mengenakan yuran percuma kepada guru yang ingin melanjutkan pelajaran. Ini merupakan sebahagian daripada galakan kerajaan untuk menggalakkan guru – guru untuk meningkatkan kualiti diri mereka agar seiring dengan perkembangan dunia pendidikan hari ini. Sememangnya ada biasiswa yang ditawarkan oleh pihak kerajaan namun jumlahnya adalah terhad. Jadi, ini menutup peluang guru – guru yang berminat untuk menyambung pelajaran. Dengan adanya yuran pengajian yang percuma, maka semoga ia menjadi suntikan semangat untuk guru – guru untuk memajukan diri.

            Cadangan saya yang kedua ialah pembelajaran secara maya digunakan bagi guru yang sedang belajar. Mereka tidak perlu menghadiri kelas seperti pelajar sepenuh masa dan hanya perlu melihat webcam dan pensyarah mengajar secara maya. Urusan seperti tugasan juga dibuat secara maya. Sekiranya perlu, guru ini boleh berjumpa dengan pensyarah sewaktu cuti sekolah. Pembelajaran secara maya juga dapat menjimatkan kos perjalanan dan juga menjimatkan masa untuk pergi ke kelas. Pembelajaran seperti ini lebih mudah bagi individu yang mempunyai banyak komitmen lain.


5.0  Rumusan

Saya bersetuju sekiranya kerajaan menggalakkan semua guru melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi demi masa depan dunia pendidikan yang lebih berkualiti. Perkembangan kualiti diri pada guru adalah penting. Pendidikan guru tidak seharusnya tamat sebaik sahaja sahaja tamat latihan perguruan. Kejayaan serta kelestarian seseorang guru dalam kerjayanya bergantung kepada kesediaan guru berkenaan untuk terus memajukan diri. Peningkatan kualiti dalam diri guru dengan cara melanjutkan pelajaran akan memberi nafas baru kepada dunia pendidikan.  Perubahan dunia pendidikan memerlukan guru harus sentiasa berusaha untuk menambah ilmu pegetahuan.




.

No comments:

Post a Comment